Saya kira Pierre Andre iaitu seorang Pengarah agak tergesa-gesa melangsaikan Ustaz Mu Tunggu Aku Datang.
Mengambil nuansa pengembaraan keinsafan dari daerah kejahilan ke wilayah permulaan ketundukan seorang hamba, Dadu dan Muiz, walau sedikit janggal dan terasa drastik, tiba-tiba berubah setelah diziarah oleh Hamzah yang menjadi Hamzah yang lain secara luaran namun masih mampu berlidahkan zaman jahiliyyah. Dadu dan Muiz mahu berubah dan matlamat pengembaraan (yang juga menjadi destinasi filem) adalah ke kuliah Ustaz Azhar Idrus hafizahullahuta'ala. Pelbagai liang liuk rencam dihadapi oleh mereka daripada dakwah tabligh kepada mangsa jenayah dan pelbagai lagi sebelum sampai ke destinasi akhir.
Untuk mengetahui liang liuk plot ini, tontonilah sendiri di pawagam.
Apapun, secara keseluruhan saya kira Pierre Andre cuba membawa nuansa ala-ala sinetron dakwah umpama Islam KTP di TV Al-Hijrah. Dan kerana inilah, saya katakan Pierre agak tergesa-gesa menyiapkannya kerana elemen-elemen dakwah itu tidak begitu tajam dan belum cukup ramuan kepelbagaian.
Ada satu tempoh di mana saya merasakan saya dikuliahkan ("being lectured") misalnya plot ta'lim yang aduhai mendatar hingga tangisan Muiz yang sudah sedia lakonan itu nampak betul-betul macam buat-buat. Alangkah indah, kalau terus dibuat ala bayan yang penuh berperasaan atau usrah yang terus menyuntik motivasi. Saya tidak ada masalah dengan "lecturing plot" dalam kes ini ditonjolkan sebagai ta'lim; namun ia harus punya jiwa. Dan saya tidak nampak ini dalam plot-plot filem ini.
Sang Murabbi amat wajar dijadikan naskhah rujukan Pierre dalam kepelbagaian uslub (pendekatan) dakwah andai Pierre mahu mengulang hasil filem yang dilabelkannya sebagai filem islami di masa mendatang.
Dalam filem ini, watak Ali yang indah itu amat dipuji dan wajar dikembangkan lagi! Dia seorang pelakon yang ikhlas!
Malah persoalan isbal (menyingkatkan seluar); amatlah sayang Pierre
menggunakan dialog biasa. Kalau saya penulis skripnya, saya akan tulis. Itulah - filem Pierre ini tidaklah menggembirakan saya sangat kerana banyak elemen sayang seribu kali sayang. Namun, ia juga tidaklah mengecewakan saya.
Pierre harus studi benar-benar filem seberang baik dari filem pop Islami seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih hinggalah filem dakwah sejarah semisal Sang Pencerah, Sang Kyai hatta Wali Songo serta filem dakwah kultus seperti Mengaku Rasul untuk menghasilkan sesuatu yang lebih bagus.
Saya percaya andai Pierre lebih rajin dan lebih cermat serta teliti, semangat filem Islami sebegini boleh dihasilkan dengan lebih berkualiti hingga menimbulkan impak dakwah sebagaimana yang dikehendak.
No comments:
Post a Comment